Sunday, December 11, 2011

Warisan Pantun Yang Semakin Dilupakan

Pantun adalah salah satu bentuk puisi lisan Melayu dan cabang kesusteraan Melayu yang paling tua. Pantun dikatakan mula dicipta oleh orang Melayu untuk menyampaikan mesej perasaan hati seperti contoh merasa sedih kerana duduk berdagang di perantauan, mengenangkan untung nasib yang malang dan bersuka ria.

Rangkap-rangkap pantun yang ringkas dan mudah, mungkin sudah berligar-ligar dalam bentuk kias-ibarat, usik-mengusik, uji-menguji di kalangan masyarakat pra-moden, pra-tulisan, sama seperti perumpamaan, bidalan dan rumus-rumus bahasa bersirat yang lain.

Sifat Pantun

Alam dan kehidupan

Selaras dengan perkembangan budaya dan tamadun manusia, pantun menjadi lebih bertenaga, tukang-tukang pantun dapat berpesta dengan bahasa yang kian kaya perbendaharaannya, unsur-unsur persekitaran pula menjadi lautan ilham yang tidak pernah kering dan pupus. Sebagai unit-unit makna yang dapat wujud kendiri, setiap rangkap pantun boleh membawa satu tema atau idea yang lengkap. Bayangkan betapa banyak idea dan tema yang dapat digarap oleh pantun – tiada nokhtahnya!

Alam bukan sahaja menjadi sumber ilham pencipta pantun, tetapi juga menjadi cermin untuknya menatap dan menginsafi diri manusia. Dari imejan sehingga idea atau persoalan, pantun meniru alam, termasuk segala fenomena dan fielnya, untuk menyindir, memujuk dan mendidik manusia.

Dengan demikian pantun menyentuh semua penjuru kehidupan manusia, memenuhi hampir keseluruhan hidup dan hayat manusia, ia melingkungi kehidupan kanak-kanak melalui dendangan dodoinya, meniti bersama kedewasaannya untuk meratapi cinta yang tak berbalas, rindu yang tak berkesudahan, melangkah bersamanya untuk merintih nasib seorang perantau dan akhirnya mencecah hari tua untuk menegur dan menasihat.

Sunday, November 27, 2011

Wednesday, October 5, 2011

Asal Usul Bahasa Melayu

ASAL USUL BAHASA MELAYU

Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.

Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:

1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.

Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.

2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.

3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.

4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.

~Asal Usul Bangsa Melayu
~Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan.
~Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto.
~Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi)
~Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.
~Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro
~Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Massihi.
~Keturunannya orang Melayu di Malaysia
~Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.
~Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.
~Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto.
~Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.
~Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia.
~Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.

**Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China .**

Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.