Sunday, December 11, 2011

Warisan Pantun Yang Semakin Dilupakan

Pantun adalah salah satu bentuk puisi lisan Melayu dan cabang kesusteraan Melayu yang paling tua. Pantun dikatakan mula dicipta oleh orang Melayu untuk menyampaikan mesej perasaan hati seperti contoh merasa sedih kerana duduk berdagang di perantauan, mengenangkan untung nasib yang malang dan bersuka ria.

Rangkap-rangkap pantun yang ringkas dan mudah, mungkin sudah berligar-ligar dalam bentuk kias-ibarat, usik-mengusik, uji-menguji di kalangan masyarakat pra-moden, pra-tulisan, sama seperti perumpamaan, bidalan dan rumus-rumus bahasa bersirat yang lain.

Sifat Pantun

Alam dan kehidupan

Selaras dengan perkembangan budaya dan tamadun manusia, pantun menjadi lebih bertenaga, tukang-tukang pantun dapat berpesta dengan bahasa yang kian kaya perbendaharaannya, unsur-unsur persekitaran pula menjadi lautan ilham yang tidak pernah kering dan pupus. Sebagai unit-unit makna yang dapat wujud kendiri, setiap rangkap pantun boleh membawa satu tema atau idea yang lengkap. Bayangkan betapa banyak idea dan tema yang dapat digarap oleh pantun – tiada nokhtahnya!

Alam bukan sahaja menjadi sumber ilham pencipta pantun, tetapi juga menjadi cermin untuknya menatap dan menginsafi diri manusia. Dari imejan sehingga idea atau persoalan, pantun meniru alam, termasuk segala fenomena dan fielnya, untuk menyindir, memujuk dan mendidik manusia.

Dengan demikian pantun menyentuh semua penjuru kehidupan manusia, memenuhi hampir keseluruhan hidup dan hayat manusia, ia melingkungi kehidupan kanak-kanak melalui dendangan dodoinya, meniti bersama kedewasaannya untuk meratapi cinta yang tak berbalas, rindu yang tak berkesudahan, melangkah bersamanya untuk merintih nasib seorang perantau dan akhirnya mencecah hari tua untuk menegur dan menasihat.

No comments: